Kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok, pengaruh mereka yang lain serta elemen perkauman antara punca di sebalik kejadian buli.
Setiap hari terdapat pelajar yang takut untuk ke sekolah kerana kuathir akan dibuli, satu kesan negatif dalam kehidupan pelajar. Di Malaysia, beberapa siri kejadian buli di sekolah-sekolah menunjukkan masalah ini perlu diberi perhatian serius.
Contohnya, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang, yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas di sepak terajang oleh sekumpulan pelajar tingkatan 3 dan 5 menggunakan kasut kadet polis; dalam satu lagi kes di Batu Pahat seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan organ dalaman selepas dipukul sekumpulan pelajar senior; kemudian berlaku pula kejadian seorang pelajar dipukul mati di asrama, dan dalam kejadian terbaru seorang pelajar dipaksa melutut di hadapan seorang lagi pelajar kerana dituduh menjatuhkan kalkulatornya.
Terbaharu kes seorang pelajar yang mendakwa pembuli memaksanya memotong hujung lidahnya menggunakan gunting.
Mangsa-mangsa buli takut untuk ke sekolah kerana mereka menjadi sasaran buli. Rasa takut ini membawa perubahan dalam tingkah laku mereka; ponteng sekolah, kemurungan dan pelbagai tingkahlaku yang membawa kepada kegagalan mereka di sekolah. 
Bagi pembuli, niat mereka hanya semata-mata untuk menunjukkan kekuatan mereka, sementara ada pula yang beranggapan inilah satu-satunya cara untuk menunjukkan kehebatan mereka. Juga rasa rendah diri dikaitkan dengan perbuatan buli, di mana mereka yang kurang keyakinan diri menjadikan mereka yang lebih lemah sebagai mangsa mereka.
Buli fizikal merangkumi perbuatan seperti memukul, menumbuk, menyepak, mengugut, menampar, menarik, menolak, atau mencubit untuk menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Perlakuan buli secara ganas mungkin membawa kematian kepada mangsa. Buli mental meliputi kata-kata menghina dan usik-usik yang menjejaskan psikologi dan emosi mangsa.
Kedua-dua kategori buli sangat berbahaya memandangkan ianya memberi kesan kepada emosi serta pembangunan sosial seseorang pelajar.  
Tinjauan lanjut terhadap isu yang tidak menyenangkan ini menunjukkan bahawa elemen perkauman turut terlibat dalam membentuk kaki buli.
Ini adalah satu perkembangan tidak sihat sedangkan kerajaan menekankan kepada perpaduan nasional.
Berdasarkan jawapan yang diterima daripada tinjauan, jelas kaki buli sedia mempertahankan rakan mereka yang dicabar kaum lain.
Lebih malang lagi para guru juga nampak menggalakkan sentimen perkauman di sekolah-sekolah. Ini berbahaya bagi sebuah negara berbilang kaum. Jika seseorang guru berpihak kepada kumpulan etnik tertentu, para pelajar akan memerhatikan sikap ini dan kemungkinan akan turut mencontohinya pada masa hadapan.
Di sinilah peranan guru penting dalam membantu pelajar membuat pilihan antara yang baik dan buruk. Para guru tidak boleh berat sebelah.
Mereka tidak boleh dipengaruhi elemen perkauman atau berfikiran sempit mengikut aliran perkauman.
Buli adalah satu masalah yang mesti ditangani secara bersepadu oleh guru dan ibu bapa bersama sokongan Jabatan Pendidikan Negeri serta Kementerian Pendidikan.
Mereka perlu berinteraksi secara berkesan dan profesional, selain mengelakkan emosi mengganggu proses menangani masalah itu.
Di sekolah-sekolah, kejadian buli perlu dikenalpasti di peringkat mikro sebelum ia merebak ke peringkat makro.
Memandangkan aktiviti tidak sihat seperti buli boleh menjejaskan hubungan etnik, sekolah-sekolah perlu merancang program yang membabitkan penyertaan pelajar daripada pelbagai kumpulan etnik.
Satu program menyeluruh membabitkan keseluruhan jentera sekolah, iaitu guru dan ibu bapa mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab supaya kita dapat membangunkan modal sumber manusia berkualiti demi negara tercinta kita.
Badan pentadbir sekolah juga perlu telus dalam melaporkan masalah disiplin khasnya yang membabitkan buli dan pergaduhan kepada Kementerian Pendidikan, yang menandakan pembabitan proaktif mereka dalam memerangi masalah ini di peringkat nasional.
Keluarga adalah titik tumpuan penting dalam proses memahami dan menambahbaik nilai-nilai peribadi serta persekitaran komuniti dalam kalangan anggota keluarga pelajar.
Peranan keluarga penting kerana tunjuk ajar ibu bapa yang membentuk personailti setiap pelajar.
Media juga memainkan peranan kritikal. Filem “Ola Bola” membawa perubahan kepada senario bola sepak Malaysia. Begitu jugalah, perlu ada filem yang menampilkan keburukan perbuatan buli di peringkat sekolah bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru, pelajar, polis, kementerian dan pembuli.
Polis juga perlu bekerjasama dengan sekolah-sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk menangani isu ini daripada akar umbi. Siri kejadian kes buli sejak kebelakangan ini bukan sekadar peringatan kepada kita.
Majlis Pencegah Buli Kebangsaan juga boleh dibentuk, yang akan menyatukan guru-guru, guru besar, jawatankuasa PIBG serta pihak berkuasa untuk sama-sama menangani isu itu.